Dato' SOAR:

"kejayaan itu bukannya bermula ketika kita berada di puncak"

Petua Kejayaan


"buat lah yg terbaik, sesungguhnya usaha itulah yang melambangkan kejayaan"

Buat Teman....

Sesungguhnya sebaik2 teman itu adalah teman yg sering mengingatkn. Samada di dlm sukar mahupun senang. Teman yg terbaik juga adalah teman yg sentiasa mentarbiahkan diri & sahabatnya kpd Allah.


Wahai sahabat, ssungguhnya diri ini hanyalah insan yg lemah. Ingatkanlah daku tikaku leka. Tenangkanlahku tika aku bersedih. Pujuklah daku tika ku hampir berputus asa dengan tarbiah2 & janji2 syurga Allah agar kita dapat bersama menuju ke syurgaNYA. Amin.."

Wednesday, March 4, 2009

Kesultanan Melaka akar umbi institusi Raja

INSTITUSI Raja menjadi satu asas penting dalam sistem kenegaraan dan pembinaan negara kita. Institusi ini adalah warisan daripada sistem politik dan kenegaraan Kesultanan Melayu Melaka. Mungkin ada yang bertanya mengapa kesultanan itu dijadikan asas kepada institusi Raja sedangkan sebelum Melaka sudah wujud beberapa kerajaan Melayu tua seperti kerajaan Kedah Tua (Lembah Bujang), Bruas, Manjung dan beberapa kerajaan yang lain.

Ada dua hujah utama yang boleh saya kemukakan untuk menjawab persoalan ini. Pertama, Melaka adalah satu-satunya kesultanan Melayu yang banyak meninggalkan warisan pelbagai aspek yang juga terkandung dalam ciri-ciri negara moden seperti kedaulatan, kerajaan, pentadbiran, undang-undang, lambang, rakyat dan wilayah pengaruh.

Beberapa kerajaan (kesultanan) Melayu seperti Johor, Perak dan Pahang adalah diasaskan oleh kerabat diraja Kesultanan Melaka. Dua undang-undang bertulis Melaka yang terkenal iaitu Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut menjadi asas kewujudan beberapa undang-undang lain seperti Undang-undang Pahang (1596), Undang-undang Kedah (1650), Undang-undang Johor (1789) dan Undang-undang Perak (1878).

Dari segi pengaruh wilayah, Kesultanan Melaka menguasai seluruh kerajaan Melayu yang wujud di Tanah Melayu ketika itu. Malah, pengaruhnya turut melebar ke beberapa kerajaan di Pantai Timur Sumatera seperti Kampar, Siak, Indragiri dan Siantan. Kerajaan Patani juga memohon nobat (menerima ketuanan) dari Melaka.

Ketika itu, keupayaan Melaka mewarnai dan menjalin hubungan diplomatik dengan kuasa jiran seperti Siam dan kuasa Asia seperti China memang terserlah. Hujah kedua, institusi kesultanan yang diasaskan Melaka mempunyai kaitan rapat dengan pemikiran Islam. Sebelum Islam, konsep dewaraja Hindu mempengaruhi kerajaan Melayu tua yang wujud lebih awal daripada kerajaan Melaka.

Konsep terbabit penuh dengan unsur kesaktian, kedewaan dan kekebalan. Sebaliknya, konsep Sultan dalam tradisi politik Melayu-Islam berjaya mengikis unsur terbabit. Konsep Sultan membawa Raja menundukkan kekuasaan dan pemerintahannya kepada undang-undang al-Quran dan al-Sunnah.

Kedudukan Raja Melayu ketika itu amat penting. Kedaulatan sesebuah negeri bergantung sepenuhnya kepada kekuasaan Raja dan kedaulatannya tidak dapat dicabar oleh sesiapa. Namun, beberapa peristiwa 'penderhakaan' yang dinukilkan sejarah menggambarkan bahawa 'Raja adil Raja disembah, Raja zalim Raja disanggah.'.

Ada dicatat dalam Sejarah Melayu bahawa pernah berlaku perjanjian persetiaan di antara Sang Seperba (wakil raja) dan Demang Lebar Daun (wakil rakyat). Dalam persetiaan itu, Demang Lebar Daun memberi akujanji bahawa anak cucunya akan taat setia kepada Raja dan pihak Raja pun mestilah menjaga kepentingan rakyat mengikut hukum syarak.

Demang Lebar Daun ada mengungkap, 'Baiklah Tuanku. Tetapi jika anak buah Tuanku dulu mengubah dia, maka anak cucu patik akan mengubahlah" (Sejarah Melayu, edisi W G Shellabear, 1961). Tun Perak, Bendahara Melaka tersohor ketika menasihati anak buahnya mentamsilkan Raja umpama dua butir permata pada satu cincin.

Katanya: 'Hendaklah tulus hatimu pada berbuat kebaikan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Dan jangan kamu sekalian lupa pada berbuat kebaikan kepada Raja kamu. Maka kata hukuman, adalah Raja yang adil itu dengan Nabi SAW umpama dua buah permata pada sebentuk cincin; lagi pula Raja itu umpama ganti Allah di dalam dunia, kerana ia zuli'lLahu-fil'alam.

Apabila berbuat kebaktian kepada Raja, seperti berbuat kepada Allah SWT. Yakni berbuat kebaikan kamu akan Allah dan Rasul-Nya, dan akan Raja" (Sejarah Melayu, edisi W G Shellabear).

Jika diteliti, ungkapan Tun Perak itu bertepatan dengan maksud ayat 59, surah an-Nisa': 'Taatilah Allah, taatilah Rasul dan pemimpin di kalangan kamu". Ia juga menggambarkan Raja dalam tradisi kesultanan Melayu dihubungkan dengan konsep 'Uli'l-amri' yang mengangkat pemerintah sebagai golongan yang harus dipatuhi selepas mentaati Allah dan Rasul-Nya.

Pastinya maksud pemerintah di sini ialah pemerintah yang diterima dengan rela oleh umat dan mereka sama-sama tertakluk kepada syariat serta menegakkan keadilan. Menegakkan keadilan menjadi prinsip penting dalam pemerintahan Islam.

Mungkin kerana itulah Undang-undang Tubuh kerajaan negeri Terengganu yang diperkenalkan Sultan Zainal Abidin III (1881-1918) juga dikenali sebagai Ittiqan-il-muluk-bi-ta'dil-il-suluk yang bermaksud 'keyakinan kepada pemerintah berasaskan kepada keadilan.'

Kehadiran dan campur tangan British di negeri Melayu menghakis sedikit demi sedikit kuasa dan pengaruh Raja-Raja Melayu. Ia bermula daripada pengenalan sistem Residen dan penasihat Inggeris dan akhirnya diperkenalkan sistem Raja Berperlembagaan oleh Suruhanjaya Reid (1956).

Di negeri-negeri Selat iaitu Pulau Pinang, Melaka dan Singapura, kuasa Raja-Raja lebih awal dibendung oleh British. Pada 15 Ogos 1957, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani di antara Raja-Raja Melayu dan British.

Perjanjian itu melahirkan sistem pemerintahan demokrasi dan Raja Berperlembagaan. Asasnya bermula dari Perjanjian Persekutuan 1948. Ketika gagasan Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963, semua negeri di Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak menerima sepenuhnya institusi Raja.

Ini bermakna Yang di-Pertuan Agong bertindak memayungi semua negeri dalam Persekutuan termasuk Singapura, Sabah dan Sarawak. Singapura tidak lagi termasuk dalam Persekutuan apabila ia keluar dari gagasan Malaysia pada 1965.

Perlembagaan moden meletakkan demokrasi menjadi nilai dan landasan penting sistem politik negara. Pemerintahan negara mestilah diwujudkan melalui proses demokrasi iaitu kebebasan memilih kerajaan melalui pilihan raya.

Perlembagaan Persekutuan menjadi undang-undang tertinggi negara dan mengatasi undang-undang lain (Perkara 4(1)). Perlembagaan menjadi kayu ukur kepada kesahihan segala tindakan pemerintah dan rakyat.

Walaupun Raja-Raja tidak lagi memiliki 'kekebalan' mutlak, Raja tetap menjadi institusi tertinggi dalam negara. Baginda mengetuai ketiga-tiga badan kerajaan iaitu Badan Perundangan (legislatif), Badan Pemerintah (Eksekutif) dan Badan Kehakiman. Baginda juga adalah satu daripada tiga komponen Parlimen dan baginda boleh memanggil dan membubarkan Parlimen.


Mohd Ayop Abd Razid

Penulis ialah Ketua Unit Komunikasi Media di Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan

Berita Harian, 4 Mac 2009


di Edit oleh fathiadha.blogspot.com

No comments:

Blog-GempaQ

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails